Sabtu, 28 Januari 2012

FAKTOR-FAKTOR BERLAKU JENAYAH DALAM MASYARAKAT TAJUK: JENAYAH DALAM MASYRAKAT MODEN


Peningkatan kadar jenayah dalam masyarakat moden semakin membimbangkan kerana jenayah mengancam keamanan, ketenteraman, dan kebahagiaan masyarakat dan negara. Peningkatan kadar jenayah dalam masyarakat dan negara boleh berlaku kerana kepincangan ekonomi. Sistem ekonomi yang tidak sihat dalam negara yang mengamalkan dasar ekonomi liberal dan kapitalis lebih cenderung melahirkan penjenayah ekonomi yang melakukan penipuan dan penyelewengan.

Penjenayah ekonomi sukar dikesan kerana perniagaan dijalankan mengikut prosedur dan peraturan yang dibenarkan. Kemudahan dan sokongan sistem kredit membolehkan golongan peniaga yang tidak jujur mengambil kesempatan dan melakukan penyelewengan modal dan pinjaman. Bank yang lebih mengutamakan pengusaha dan golongan kaya menghadapi masalah penipuan dan penyelewengan yang dilakukan oleh golongan ini.

Kegawatan ekonomi membawa kesan yang buruk kepada pasaran saham. Kejatuhan nilai mata wang dan nilai saham serta meningkatnya jumlah golongan yang muflis memberi kesan kepada perkembangan jenayah dalam masyarakat.

Meningkatnya masyarakat berhutang dan tidak mampu menyelesaikan beban hutang serta kegagalan dalam perniagaan mendekatkan golongan ini kepada jenayah.
Kegawatan ekonomi juga menjadikan seseorang terdesak melakukan jenayah. Hilang pekerjaan dan keperluan hidup yang mendesak boleh menyebabkan seseorang terlibat dengan kegiatan jenayah seperti merompak, peras ugut, atau membunuh.

Sistem dan faktor ekonomi boleh juga menyebabkan meningkatnya penjenayah kolar putih yang melakukan penyelewengan dan penipuan. Kejadian pecah amanah merupakan jenayah yang semakin mengancam kepentingan masyarakat dan negara. Rasuah
boleh meruntuhkan ekonomi, pengurusan, dan keselamatan negara. Oleh itu, perkembangan ekonomi yang cekap, sihat, dan adil perlu diwujudkan bagi membersihkan segala bentuk gejala jenayah ekonomi.

Peningkatan kadar jenayah dalam masyarakat moden juga berlaku kerana kemerosotan nilai murni dalam kehidupan individu dan masyarakat. Sikap mementingkan diri sendiri dan cemburu akan kesenangan dan kejayaan orang lain mendorong berlakunya perbuatan jenayah. Masyarakat semakin hilang kekuatan dan terdedah kepada pelbagai ancaman jenayah kerana ketandusan nilai murni dan nilai moral. Jenayah yang berlaku dalam masyarakat mempunyai kaitan dengan penyakit dan masalah

sosial yang dihadapi oleh individu dan masyarakat. Hal ini termasuklah amalan gaya hidup bebas, suka akan hiburan yang melampau, kenakalan dan kejahatan, berasa seronok dengan kegiatan sensasi dan kejam, perlumbaan kereta atau motosikal
haram, amalan seks bebas, pelacuran, dan perjudian. Fenomena yang berlaku ini mencerminkan masyarakat moden semakin jahiliah sifatnya. Bagi membendung berleluasanya jenayah nilai hidup yang harmoni, kesabaran, ketenangan, dan bertimbang rasa perlu dipupuk.

Persekitaran sosial yang buruk dan tekanan hidup seperti kemiskinan, kemunduran, dan kegiatan antisosial, seperti gengsterisme, pengedaran dadah, dan pelacuran, boleh menyebabkan golongan muda, khususnya belia, melakukan pwlbagai bentuk salah laku, termasuk jenayah berat. Kawasan yang dikenal pasti sebagai kawasan hitam merupakan kawasan yang berbahaya dan mempunyai rekod jenayah yang membimbangkan masyarakat setempat. Pengaruh media massa yang berunsur ganas dan bersifat destruktif sukar dibendung dalam era teknologi terkini. Malah, jenayah dianggap sebagai sesuatu yang biasa dalam kehidupan manusia moden.

Jenayah merupakan produk sosial yang berkembang dalam sesuatu sistem dan persekitaran sosial masyarakat. Jika sistem dan persekitaran sosial yang wujud tidak sihat, gejala sosial akan mudah menular, dan akhirnya menjurus kepada peningkatan kadar jenayah yang tinggi dalam masyarakat tersebut. Sistem sosial yang menjadi punca berlakunya kepincangan masyarakat dewasa ini, bukan sahaja disebabkan oleh kelemahan institusi keluarga, malah unsur-unsur asing atau budaya kuning merupakan pemangkin kepada kebejatan moral, dan seterusnya memberi memberi impak yang negatif sehingga menyumbang kepada peningkatan kadar jenayah yang berlaku dalam masyarakat yang terbabit. Struktur kelas sosial golongan bawahan yang luas memungkinkan gejala sosial semakin berleluasa. Keadaan ini akan mengancam keselamatan rakyat di negara kita. Persekitaran sosial yang buruk juga boleh menyebabkan berlakunya kemelut sosial yang menjadikan sesuatu kawasan tidak dapat menarik minat golongan pengusaha untuk memajukannya bagi kegiatan perniagaan, pelancongan, dan perusahaan. Kawasan yang mempunyai kadar jenayah yang tinggi dianggap mempunyai risiko yang menyebabkan kerugian dari segi pelaburan.

Peningkatan kadar jenayah di negara membangun seperti Malaysia boleh juga dikaitkan dengan faktor imigrasi penduduk dan pendatang haram yang mendatangkan pelbagai masalah sosial, termasuk jenayah berat seperti membunuh dan merompak. Jumlah pendatang asing, khususnya pendatang haram dari negara jiran, seperti Indonesia, Filipina, dan Myanmar, semakin meningkat. Kemasukan pendatang tanpa izin menjadi beban sosial di negara kita. Pengaruh budaya negatif seperti pergaulan babas di tempat asal mereka akan menular dalam kalangan penduduk tempatan. Selain itu, mereka yang gagal dalam mencapai impian untuk membina kehidupan yang lebih baik di negara ini, mudah terjerumus ke kancah jenayah sehingga menyebabkan tindakan undang-undang terpaksa diambil terhadap mereka yang terbabit.

Peningkatan kadar jenayah dalam masyarakat moden berhubung kait dengan etika dan peraturan sosial. Dalam mewujudkan masyarakat yang beretika, langkah yang wajar ialah kerjasama daripada semua lapisan masyarakat itu sendiri. Masyarakat yang beretika mempunyai tanggungjawab sosial dan moral yang kukuh dalam membanteras pelbagai bentuk jenayah. Jika tidak, lunas etika yang lemah boleh menyebabkan wujudnya krisis dan dilema dalam masyarakat kerana kecenderungan pihak tertentu untuk melakukan jenayah pastilah sukar dibendung. Jenayah akan terus meningkat dan menjadi lebih kritikal sekiranya etika tidak menjadi tunjang pembinaan masyarakat dan negara.

Masalah jenayah yang mengancam masyarakat dan negara tidak boleh dibanteras tanpa kerjasama semua pihak. Keberkesanan sistem perundangan juga penting demi membanteras fenomena tersebut. Undang-undang memberi kuasa kepada pihak berwajib seperti polis dan pasukan keselamatan, untuk membantu dalam melindungi masyarakat dan negara daripada ancaman sebarang bentuk jenayah. Undang-undang perlu memberi lebih banyak kuasa kepada polis untuk melaksanakan tanggungjawab mereka demi kesejahteraan rakyat. Pengukuhan kuasa juga membolehkan pihak yang berwajib ini bertindak dengan lebih tegas bagi mengatasi masalah jenayah, khususnya jenayah yang melibatkan pihak yang mempunyai pengaruh termasuk wang, kuasa, dan kedudukan yang tinggi. Kerjasama polis dan masyarakat setempat merupakan konsep pemuafakatan bijak yang berkesan dan sesuai dengan konsep membebaskan masyarakat dan negara daripada jenayah.

Rokok pembunuh


Kandungan Berbahaya Dalam Rokok (Fakta)
Setiap batang rokok yang dinyalakan akan mengeluarkan lebih 4 000 bahan kimia beracun yang membahayakan dan boleh membawa maut. Dengan ini setiap sedutan itu menyerupai satu sedutan maut. Di antara kandungan asap rokok termasuklah bahan radioaktif (polonium-201) dan bahan-bahan yang digunakan di dalam cat (acetone), pencuci lantai (ammonia), ubat gegat (naphthalene), racun serangga (DDT), racun anai-anai (arsenic), gas beracun (hydrogen cyanide) yang digunakan di "kamar gas maut" bagi pesalah yang menjalani hukuman mati, dan banyak lagi. Bagaimanapun, racun paling penting adalah Tar, Nikotin dan Karbon Monoksida.

Tar mengandungi sekurang-kurangnya 43 bahan kimia yang diketahui menjadi penyebab kanser (karsinogen). Bahan seperti benzopyrene iaitu sejenis policyclic aromatic hydrocarbon (PAH) telah lama disahkan sebagai agen yang memulakan proses kejadian kanser.

Nikotin, seperti najis dadah heroin, amfetamin dan kokain, bertindak balas di dalam otak dan mempunyai kesan kepada sistem mesolimbik yang menjadi punca utama penagihan. Sindrom ketagihan terhadap nikotin yang ditunjukkan dengan gejala gian, tolerans dan tarikan, adalah mungkin lebih hebat berbanding najis dadah. Malah daripada kajian saintifiknya nikotin itu juga sejenis najis dadah, sepertimana yang telah diiktiraf oleh dunia perubatan. Seseorang yang kehabisan rokok kadangkala berkelakuan seperti mengalami gangguan akal dan dalam keadaan yang amat tertekan sekali. Oleh itu terlalu sukar untuk sesiapa yang telah terjerat dengan ketagihan merokok, meninggalkan tabiat itu untuk selamanya, kecuali dengan ikhtiar yang serius dan kehendak Allah jua.

Nikotin turut menjadi punca utama risiko serangan penyakit jantung dan strok. Hampir satu perempat mangsa pesakit jantung adalah hasil punca dari tabiat merokok. Di Malaysia, sakit jantung merupakan menyebab utama kematian sementara strok adalah pembunuh yang keempat.

Karbon Monoksida pula adalah gas beracun yang biasanya dikeluarkan oleh ekzos kenderaan. Gas ini menjejaskan bekalkan oksigen ke tisu-tisu hingga ianya menjadi terencat dan akhirnya boleh menyebabkan maut sekiranya paras karbon monoksida di dalam badan melebihi 60%.

Apabila racun rokok itu memasuki tubuh manusia ataupun haiwan, ianya akan membawa kerosakkan pada setiap organ disepanjang laluannya, iaitu bermula dari hidung, mulut, tekak, saluran pernafasan, paru-paru, saluran penghazaman, saluran darah, jantung, organ pembiakan, sehinggalah ke saluran kencing dan pundi kencing, iaitu apabila sebahagian dari racun-racun itu dikeluarkan dari badan.

Kesan Asap Rokok Kepada Si Perokok Dan Orang Disekeliling
Si perokok bukan sahaja perlu bertanggungjawab pada diri sendiri tetapi turut bertanggung jawab pada orang disekeliling akibat daripada bahaya asap rokok. Asap rokok yang dihidu oleh perokok atau mereka yang berada di sekelilingnya, akan memasuki rongga mulut dan hidung melalui kerongkong ke paru-paru. Kandungan asap rokok akan menyebabkan kerosakan tisu di sepanjang perjalanan di ruang ini. Ia boleh menyebabkan pelbagai penyakit di mulut, kerongkong, paru-paru dan barah. Asap akan melalui saluran pernafasan ke dalam paru-paru dan merosakkan saluran bronkus, menyebabkan bronkitis, penyakit di bahagian paru paru. Ia juga akan merosakkan pundi udara dalam paru-paru (alveoli) dan menyebabkan penyakit emfisima.

Asap rokok yang dihidu juga akan melalui saluran penghadaman dan pencernaan, yang boleh menyebabkan pelbagai penyakit di bahagian esofagus, perut dan pankreas.

Racun dalam asap rokok yang larut air akan memasuki sistem saluran darah dan dibawa ke seluruh badan. Bahan nikotin, bukan saja memberi sifat ketagihan, malah menyebabkan saluran darah arteri menjadi sempit. Ia juga merosakkan dinding arteri dan akan memudaratkan organ berkaitan.

Kesan ini, dalam jangka panjang, akan menyebabkan simptom kebas pada kaki, jari, migrain, sakit kepala, pedih ulu hati, kekejangan otot kaki, serangan penyakit jantung dan sebagainya.

Racun rokok akhirnya disaring dalam buah pinggang dan dihapuskan dari badan melalui air kencing. Dalam proses ini pula, berlaku satu lagi keracunan hasil penguraian kimia asap rokok yang turut merosakkan buah pinggang. Racun dalam air kencing juga menyebabkan kerosakan pundi kencing.

Racun akibat merokok juga mempunyai kesan tindak balas terhadap ubat-ubatan. Secara umum diketahui merokok boleh menjejaskan fungsi beberapa kumpulan enzim di hati dan ada kalanya ia boleh memperhebatkan kesan sampingan sesuatu ubat itu.
Kesan Asap Rokok Terhadap Isteri Perokok Adalah :
- Melahirkan bayi yang kurang berat badan
- Melahirkan bayi yang tidak cukup bulan
- Lebih terdedah kepada kanser
- Mengurangkan kesuburan dan putus haid awal

Kesan Asap Rokok Terhadap Anak Perokok :
- Lebih mudah mendapat lelah
- Mendapat jangkitan paru-paru
- Pertumbuhan paru-paru kanak-kanak terganggu
- Mudah menjadi perokok apabila dewasa kelak

Statistik Kematian Akibat Tabiat Merokok
Di Malaysia, merokok menyumbang kepada lebih 10,000 kematian setahun; 30 peratus daripadanya disebabkan 10 jenis kanser, iaitu paru-paru, mulut, esofagus, tekak, pankreas, pundi kencing, buah pinggang, serviks, kolon dan perut, 50 peratus kematian berpunca daripada sakit jantung dan strok dengan pecahan 25 peratus masing-masing.

Menurut Dr Sallehudin, lebih 100,000 perokok dimasukkan ke hospital kerajaan di seluruh negara akibat sakit jantung, kanser dan penyakit sekatan pulmonari kronik (COPD) dan lebih penting, negara mengalami kerugian kira-kira RM20 bilion setahun bagi menanggung kos rawatan dan kehilangan produktiviti.


Faedah Berhenti Merokok
- Hidup lebih lama
- Dapat menghindari racun
- Dapat melindungi diri, keluarga dan orang lain daripada bahaya merokok
- Menjadi teladan yang baik kepada anak-anak
- Dapat meningkatkan kecergasan serta memiliki tubuh yang sihat
- Meningkatkan deria rasa dan bau
- Gigi lebih putih dan nafas lebih segar
- Dapat mengelakkan budaya membazir dengan menggunakan wang untuk membeli rokok kepada tujuan yang lebih baik dan bermanfaat.

Gunakan Kaedah Yang Betul Untuk Berhenti Merokok
- Tetapkan tarikh untuk berhenti merokok
- Yakinkan diri
- Buat nota peringatan
- Katakan pada diri anda, "Aku bukan perokok"
- Tumpukan pada hari ini
- Sentiasa berfikiran positif
- Dapatkan sokongan
- Lawan keinginan untuk merokok
- Gunakan Terapi atau rawatan yang sesuai
- Amalkan Petua 10 M untuk berhenti merokok

Rawatan Untuk Berhenti Merokok
Vibration Liquid Chlorophyll (Minuman Klorofil Alfalfa)
Membantu menyingkirkan segala racun dan toksik di dalam tubuh akibat kandungan rokok yang merbahaya. Sangat baik diamalkan seisi keluarga.
Seri Wajah 99 C6
Formula bagi membantu mereka yang ingin berhenti merokok. Ia berfugsi menghilangkan ketagihan merokok.

"Setiap Sedutan, Membawa Padah"

Jumaat, 27 Januari 2012

jenayah pelajar dan remaja

         Hari ini, masyarakat kita telah dikejutkan dengan pelbagai kes jenayah yang melibatkan pelajar dan remaja. Kejadian jenayah tersebut telah menggambarkan keseriusan kejadian jenayah dalam kalangan pelajar dan remaja. Semakin hari kes-kes jenayah ini semakin berleluasa.lsu ini sungguh memalukan memandangkan negara kita sekarang merupakan negara yang sedang pesat membangun. Persoalannya, apakah punca-punca yang menyebabkan berleluasanya kegiatan jenayah dalam kalangan pelajar dan remaja dan apakah masalah ini dapat diatasi?


Jika dikaji begitu banyak punca berlakunya kes-kes jenayah dalam kalangan remaja. Antaranya ialah didikan yang kurang sempurna daripada ibu bapa dan keluarga. Ibu bapa ialah orang yang paling dekat dan yang paling penting dalam pembentukan peribadi dan sahsiah dalam kalangan anak-anak. Pada zaman teknologi maklumat dan globalisasi sekarang, mereka sentiasa sibuk bekerja dalam mengisi tuntutan kebendaan sehingga mereka lupa akan tanggungjawab hakiki mereka iaitu mendidik dan mengajar anak-anak menjadi insan yang sempurna. Inilah punca utama yang menyebabkan akhlak pelajar-pelajar dan remaja runtuh. Natijahnya mereka tergamak melakukan jenayah berat seperti merogol, membunuh, menyamun, dan peras ugut.


Pengaruh rakan sebaya juga merupakan punca berleluasanya kegiatan jenayah dalam kalangan pelajar dan remaja kerana mereka sungguh rapat dengan rakan-rakan sebaya mereka. Pelajar-pelajar lebih banyak menghabiskan masa mereka di sekolah dan selepas pulang dari sekolah pula, mereka akan melepak di tempat-tempat tertentu seperti pasar raya sebelum pulang ke rumah. Mereka lebih suka mencari rakan sebaya untuk menemani mereka. Jika mereka bijak memilih rakan yang dapat memimpin mereka, mereka tidak akan mudah terjebak dengan kegiatan yang tidak bermoral. Sebaliknya jika mereka tersalah pilih rakan sudah pasti mereka juga akan berkelakuan tidak bermoral kerana sememangnya remaja mudah terikut-ikutperangai rakan. Di sinilah berpuncanya kegiatan jenayah seperti peristiwa membakar sekolah, kes ragut, dan sebagainya.


Selain itu, media massa juga menjadi punca kegiatan jenayah dalam kalangan remaja. Tidak dinafikan kemudahan seperti Internet, e-mel, televisyen, dan radio memudahkan kita untuk berkomunikasi, mendapatkan maklumat, dan berhibur. Akan tetapi banyak juga kesan-kesan negatif daripada kemudahan ini jika tidak dimanfaatkan dengan betul, contohnya, menyalahgunakan internet untuk memalsukan data-data penting, menonton gambar-gambar lucah, dan sebagainya yang akan mendorong mereka untuk melakukan jenayah seperti rogol, bunuh, pengedaran pil-pil khayal, dan dadah. 


Namun begitu, segala jenayah di atas dapat dibendung jika perhatian dan pendekatan yang lebih diberikan kepada remaja-remaja tersebut. Contohnya, ibu bapa hendaklah memberikan perhatian yang lebih kepada anak-anak ketika di rumah kerana segalanya bermula daripada rumah. Pendidikan agama dan nilai-nilai murni mestilah diterapkan supaya anak-anak dapat menilai antara perkara baik dan buruk. 


Remaja juga haruslah pandai memilih rakan sebaya kerana sememangnya remaja mudah ter- pengaruh dengan kawan-kawan mereka. Di sini, ibu bapa mesti tahu dengan siapa anak mereka berkawan. Pengaruh media massa juga hendaklah dibendung. Pelajar hanya perlu mengetahui maklumat-maklumat yang hanya berkaitan dengan pelajaran sahaja. Cara sebegini dapat menghasilkan pelajar bermaklumat sekali gus dapat membendung jenayah dalam kalangan remaja. 


Selain itu, pihak sekolah juga perlu memantapkan lagi disiplin sekolah bagi menjamin kegiatan salah laku pelajar berkurangan. Setiap kesalahau. pelajar seperti ponteng sekolah, merokok, menghisap dadah, atau memukul pelajar lain hendaklah didenda setimpal dengan kesalahan mereka. Ibu bapa pelajar juga harus ke sekolah untuk berbincang bagi mencari pendekatan awal dalam mengatasi masalah yang lebih serius. Kuat kuasa undang-undang hendaklah diperketatkan. Remaja bawah umur yang melakukan kegiatan jenayah berat seperti bunuh hendaklah dikenakan hukuman mati mandatori bagi memberikan pengajaran kepada remaja-remaja lain. 


Kesimpulannya, pelajar-pelajar haruslah didedahkan kepada isu-isu semasa, kempen-kempen, khemah kerja, motivasi dan sebagainya bagi menyedarkan mereka bahawa merekalah generasi pemangkin kegemilangan negara. Sekali gus, perkara sedemkian dapat memberi pengajaran kepada mereka. Golongan tersebut juga perlu mengetahui bahawa segala kes jenayah akan merosakkan masa depan mereka.